Sunday, October 10, 2010
demi cinta
Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.
Tirulah sifat Al A’ffu (Maha Pemberi Maaf) Allah SWT… yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu… pengampunan Allah tidak bertepi dan “bertapi” lagi.
Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa… Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.
Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!
Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati… Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.
Bila datang perasaan semacam itu di hati mu… sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA.. Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri… Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar. Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah. Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.
Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan. Kemarahan seumpama ‘bom jangka’ yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita. Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah “benci tapi rindu”.
Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup… berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita ‘bebas’ dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu. Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita. Kemarahan itu adalah “api” dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.
Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau “life style” orang-orang yang soleh. Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami?
Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun… Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!
Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang nasuh hidup, bukan untuk orang yang telah mati. Bayangkan, isteri atau suami kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang “tidak selesai” antara hati-hati kita berdua?
Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.
Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!
Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil… Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.
Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin… tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.
Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,“kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.
Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca “4 Qul”, doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu. Dan “orang lain” yang paling dekat dan hampir dengan kita ialah teman tidur di sebelah… siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita.
Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam “fail” di hati sanubari kita. “Delete” segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri. Jangan lagi fikirkan “sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini…” Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.
Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.
“Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. “
“Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku.”
Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!
Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah… aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, “tiada maaf bagi mu” selagi ada rasa cinta.
Kekadang ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau isterinya. Mereka yang diserang penyakit “benci tapi rindu” ini akan menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi. Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.
Mereka yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu. Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?
Kata ahli psikologi, “Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak.” Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!
Saudara/i ku, aku yang menulis ini pun masih bermujahadah untuk memaafkan. Lalu di akhir catatan rasa dan gurisan jiwa ini, ku hadiahkan sebuah puisi seadanya. Tentang gelombang rasa dan gejolak jiwa sendiri dalam sebuah episod dalam hidup ku sendiri. Sudi apalah kiranya kau tatapi bersama…
sumber dari blog gentarasa.(ustaz pahrol mohd juoi.)
Friday, July 30, 2010
SYAITAN ITU KREATIF
“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.
Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran… tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.
Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!
KISAH TIDAK LAMA DULU
Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah – ke arah kebaikan.“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.“Hidayah bang…” jawabnya sidia pendek.“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”“Syukur,” kata saya perlahan.
Setahun kemudian.“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.“Betul ke ni?”“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”Saya terdiam. Kaku.“Mana pergi tudungnya?”“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.“Itu tudung?”“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.
Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kesihan saya melihat wajah sidia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.“Bang saya insaf bang…“Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu sidia terpilih, sekarang kembali tersisih?
Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!
Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:“Syaitan terlalu kreatif…”Kreatif? Bisik hati saya.“Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.”Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-wasan’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.
Hasilnya… sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.
Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:“Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.”Apa ertinya?“Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…”
“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.
“Aku tak faham. Maksud kau?”“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”“Lantas?”“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”
“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”“Jadi kebenaran menolak keindahan?”“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat.Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!
“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.“Transisi? Apa maksud mu?”“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.
“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”
“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading – maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?”“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”
“Maksud kau?”“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”
Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit!
sumber dari blog genta rasa.
ustaz pahrol mohd juoi
Thursday, July 8, 2010
BIARKAN CINTAMU BERKATA TIDAK!
Tidak! Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik, yang mana buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu bercinta.
Namun sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)… ya, cinta orang beriman memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.
Pernah Sayidina Abu Bakar ra pernah berkata kepada anaknya, “jika aku menemui mu dalam perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!” Mus’ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, “jika ibu punya 100 nyawa dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad.”
Ya, cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau “siapa” yang dicintainya.
Kalau sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan segala keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.
Sebaliknya, jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita? Orang mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah: “Orang mukmin itu sangat bersangatan cintanya kepada Allah.” Al Baqarah 165.
Justeru, cinta orang mukmin itu “buta” kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip “kami dengar, kami taat” setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al Quran) yang datang daripada Allah.
Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.
Ya, Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab yang hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak beriman…
Betapa sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa? Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya Rasulullah saw… tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak walaupun ketika hati terlalu cinta!
Begitulah jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata “tidak” ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.
Menyusul lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w telah berkata “tidak” kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?
Muhasabah kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga kita…. Apakah pernah cinta kita berkata, “tidak”? Ah, tanpa disedari kerap kali kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.
Kekadang ada isteri yang sudah semakin “toleransi” dalam hukum penutupan aurat. Malangnya, sisuami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat… Ada masanya tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian… Itu pun masih didiamkan oleh sisuami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang…
Kekadang solat nya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu “ringkas” pula… Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak kunjung reda. Dan keutamaan mengerjakan menyegerakan solat tepat semakin hari semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi “jeran” dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang…
Si suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi entah kenapa “:semangat” Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur, mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak menyuburkan iman dan Islamnya… si isteri melihat dari dekat.
Itu perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan. Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi dingin… biarlah dulu. Tunggulah lagi. Ah, semuanya… demi cinta!
Seakan telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat sebelum tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima, ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi…dan bercintalah kita kerana Allah.
Itulah pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau isteri kita.
Sayidina Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya) apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.
Jika kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat. Lambat sibapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam mencintainya!
Betapa ramai ibu-bapa yang hakikatnya “menghumban” anak mereka ke neraka kerana dibiarkan melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada ibu-bapa yang begitu “sporting” berkata, “Biarlah… muda hanya sekali, biarkan mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!”
Susah benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat kelak?
Jangan kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu. Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa (kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.
Marah biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan, katakan tidak… cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata. Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itru akan kekal sampai bila-bila…
SUMBER DARI BLOG GENTA RASA.
USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI.
Sunday, June 27, 2010
Sunday, June 6, 2010
Wednesday, May 26, 2010
melalui jambatan pulau pinang, bila tidak diwaktu puncak adalah saat saat indah. pandang lautnya yang tenang, lihat langitnya yang berawan gemawan indah. subhanallah, indahnya ciptaan tuhan. bahasa alam yang sedang berbisik, lihatlah keagungan tuhanmu yang menciptakan, langit tanpa tiang dan laut yang dihamparkan membiru tenang.
alam adalah hidangan perawat stress. pulau pulau yang cantik seperti lukisan saja, hijau menampung diatas air.
kekadang langitnya menjadi gelap dan keruh kerana hujan nak turun. hati bertambah syahdu kerana, hujan adalah juga nikmat. tapi sebelum hujan turun Allah bagi kita lihat alamnya langitnya dulu, tak sama lagi seperti waktu cerahnya.
seperti hidup kita adalah bak langit diatas sana .kadang kadang cerah gembira, kekadang gelap bermasalah. tetapi yakinlah nanti hujan rahmat akan turun pula. selepas itu matahari tersenyum semula. marilah menjadi hamba tuhan yang baik.
Friday, May 21, 2010
makang ikang, sila pilih ikang yang kecik kecik kerana ikang besar dan di sapu ubat pengawet mayat.
jom kita lihat rahsianya wahai diriku dan teman teman.
pertamanya harganya murah..hehe
keduanya sumber protein terbaik tanpa bahan pengawet. ikan besar selalunya ditangkap dilaut dalam. botnya pergi berhari hari. bila ikan ditangkap, ikan akan mati. ikan akan jadi mayat.so,, untuk segarkan mayat ikan, mudah saja,ambil awet mayat manusia sapu pada ikan. lalu ikan akan sentiasa segar dan cantik.
bahan awet mayat tu ajen sebab kanser. sapa yang susah kalau kena kanser, kita dan keluarga kita kan.nanti kena guna duit banyak..jadi nasihat saya .jom makan ikan kecik kecik..murah dan selamat
happines not a destination but a journey
pesanan yang saya ingat dari seorang pakar motivasi saya.he he suami saya. walaupun tidak lah mudah untuk merealitikan dalam hidup ini ayat ayat ini tetapi sekurangnya jadilah penawar dikala hati bersedih gulana.
ramai orang, mungkin termasuk saya selalu beranggapan bahagia itu bila sampai titik aku kaya. seronok itu bila aku selawa dan seglamour "bintang felem".
hakikatnya seronok itu ialah bila kita mampu lihat bunga indah disepanjang jalan yang kita lalui.jika kita boleh rasai bertuahnya hidup yang kita lalui sepanjang usia.
jom kita ambil contoh; oprah yang hebat dengan rancangan tallk shownya. dia kata dia tak bahagia, dia cakap hidupnya kosong. anda tahu pendapatannya berjuta juta untuk satu bulan.akhirnya dia temui keseronokan bila dapet menolong orang lain. modus oerandinya ialah cari orang didalam kesusahan, buat kejutan, baginya sebiji kereta. diwaktu orang yang ditolongnya mengalirkan air mata gembira kerana kejutan itu, oprah merasakan satu nikmat luarbiasa berkongsi gembira dengan mereka..pelik bukan?
tapi inilah sebenarnya. bintan holllywood, terbang kenegara susah, ambik anak angkat dari mereka yang susah,lihat anak anak itu berlari gembira ditaman taman rum ah mereka lalu mereka juga menumpang gum...bira..ha ha ha.
jika kita merasa tidak gembira dengan apa yang kta ada sekarang, percayalah kita susah untuk temui kegembiraan mimasa lain.
raikan hidup sekarang. gembira dengan apa yang dibuat..jangan di kejar hollywood. jangan dibangga dengan bolyywood. berbahagialah dengan malay wood dan muslim wood.
Luarbiasa nikmatnya.....
Saturday, May 8, 2010
Sunday, April 25, 2010
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:
"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Iman Ajaib.
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika.
Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.
Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.
Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.
Selawat dan salam untuk mu Ya Rasulullah. ....
Secara peribadi, saya berasa sangat sayu membaca kisah ini. Sayu, sedih dan pada masa sama marah pada diri sendiri.
Betapa cinta dan rindunya Rasulullah pada umatnya. Kita pula umatnya, adakah mencintainya begitu juga?Atau masih buat-buat jual mahal? Atau sebenarnya kita bukanlah umat yang dirindui oleh Rasulullah mahupun mendapat iman ajaib yang dikatakan oleh Rasulullah....?
Sama-samalah kita intai diri dan fikir-fikirkan juga menambahkan amalan-amalan.Perbanyakkanlah selawat kepada Rasulullah s.a.w.
Rasulullah dalam mengenangmu .
Kami susuri lembaran sirahmu.
Pahit getir perjuanganmu Membawa cahaya kebenaran
Engkau taburkan pengorbananmu .
Untuk umatmu yang tercinta >
Biar terpaksa tempuh derita .
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya
Tak terjangkau tinggi pekertimu .
Tidak tergambar indahnya akhlakmu .
Tidak terbalas segala jasamu .
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan .
Mengajar arti kesabaran .
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al Quran
Rasulullah kami ummatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami coba mengingatimu
Dan kami coba mengamal sunnahmu
Kami sambung perjuanganmu
Walau kami dicaci dihina
Tapi kami tak pernah kecewa
Dialah Allah sebagai pembela
“Ya Allah,Kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati danmenyebut namaMu.Hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu.Serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu..."(Petikan Doa dari Doa Selepas Wirid Ma'thurat)
Saturday, April 3, 2010
Keikhlasan mengukuh perkahwinan.
1.Setia
Apabila akad nikah telah dilafazkan,maka ini adalah tanggungjawap suami untuk menjaga isteri dan keluarga.Malah isteri perlu bersama-sama menjaga kebahagiaan rumah tangga seperti menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri.Pasangan harus setia dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing...
2.KASIH SAYANG MENYAYANGI ORANG LAIN ADALAH BERMULA DARIPADA HATI YANG SUCI.PERASAAN INI HARUS DIPUPUK DAN DIBAJA BAGI MENJAMIN KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA...
3.Komunikasi
Seorang isteri perlu menjaga maruah suaminya dengan mengikut landasan agama yang telah ditetapkan oleh Allah SWT...
4.KEPERCAYAAN PERASAAN CURIGA TERHADAP PASANGAN OLEH BOLEH MENJEJASKAN HUBUNGAB SUAMI ISTERI.PUPUK SEMANGAT SALING MEMPERCAYAI BAGI MENGUKUHKAN PERASAAN CINTA TERHADAP PASANGAN.JIKA BERLAKU BERGOLAKAN DALAM RUMAH TANGGGA,CARILAH PUNCA MASALAH TERSEBUT...
5.Sabar
Dalam membina hubungan yang utuh,pasangan perlu banyak bersabar dalam setiap perkara.Hendaklah sentiasa bertolak ansur malah tidak merendahkan sifat masing-masing...
6.TOLONG-MENOLONG SETIAP PASANGAN PERLU MEMPUNYAI SIFAT TOLONG-MENOLONG DALAM BANYAK PERKARA.INI SEPERTI SEORANG SUAMI MEMBANTU ISTERI DALAM MENYIAPKAN KERJA RUMAH...
7.Kefahaman
Memahami sikap pasangan bukan hanya mengetahui kegemaran mereka,tetapi lebih daripada itu.Usah memberi kritikan terhadap perkara yang mereka sukai.
Sunday, March 28, 2010
erti persahabatan
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.
Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat,begitu juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya.
Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti....kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa'dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya??? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa....tetapi kita sering terlupa.Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia.
Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.
Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang, sedih dan kecewa.
Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan,disebalik kesenangannya,mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita tidak tahu.. tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.
sumber dari blog asha"irah
Apabila menghadapi ujian Allah.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.
Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan ertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi
ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).
Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya
kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
Apabiala kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah
diterimanya. Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak etentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa
bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya. Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”
Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:
“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”
Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:
�“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”
Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji
kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….
sumber dari blog asha"irah.